Most Popular

loading...

PERGHH...DULUNYA "MAT DESPATCH" SEKARANG "PILOT"

PERGHH...DULUNYA "MAT DESPATCH" SEKARANG "PILOT"




Kuala Lumpur: Selepas sembilan tahun menunggu peluang dan mengharungi pelbagai rintangan, akhirnya hasrat seorang bekas penghantar surat pejabat untuk mencapai impian bergelar juruterbang hampir terlaksana selepas dia melepasi kelayakan sebagai pembantu juruterbang pada Ogos tahun lalu.


Kini T Kugan, 31, mampu tersenyum puas apabila mahir menerbangkan Airbus A320 ke lebih 10 destinasi seluruh dunia membabitkan 700 jam penerbangan.
Sebelum itu, Kugan terpaksa melupakan hasratnya itu seketika disebabkan faktor kurang berkemampuan untuk membiayai yuran pengajian di institusi penerbangan yang mahal.

Kugan berkata, dia menanam impian bergelar juruterbang sejak kecil ketika berpeluang melihat sendiri kapal terbang dari arah dekat di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
“Sebenarnya saya meminati bidang ini sejak berumur lapan tahun lagi, ketika itu saya mengikuti keluarga ke lapangan terbang untuk menghantar bapa saya ke luar negara.



“Selepas ternampak kapal terbang dari arah dekat, saya terus tanamkan impian mahu jadi juruterbang satu hari nanti,” katanya.


Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dia mengikuti pengajian jurusan Diploma Pengurusan Hospitaliti di sebuah kolej di Pulau Pinang dan pernah bekerja di bahagian perhotelan selama tiga bulan sebelum memohon sebagai penghantar surat pejabat di syarikat AirAsia.


“Selepas menyedari yuran masuk sekolah penerbangan mahal iaitu kira-kira RM180,000, saya memujuk hati dengan mengambil diploma dan sempat bekerja sekejap di hotel sebelum menerima pelawaan seorang rakan bekerja di AirAsia.


“Saya akhirnya diterima bekerja sebagai penghantar surat di AirAsia selama tujuh tahun. Dalam tempoh itu saya curi-curi menanam impian meneruskan niat yang menjadi juruterbang,” katanya.


Menurutnya, sepanjang tempoh itu dia terpaksa melalui proses yang panjang termasuk 11 kali membuat permohonan bagi menduduki empat peperiksaan kelayakan sebelum menamatkan kursus penerbangan di sebuah sekolah penerbangan di ibu negara pada Jun tahun lalu.


“Untuk menjadi juruterbang bukan satu perkara mudah, saya perlu melalui macam-macam proses. Sebelum layak menjadi pembantu juruterbang saya perlu melalui empat kali ujian termasuk satu ujian khas kelayakan pelatih juruterbang.


“Selepas lulus semua ujian berkenaan barulah saya dihantar ke sekolah penerbangan selama dua tahun bermula 2013 dan berakhir pada Jun tahun lalu.


“Dalam teruja dan gementar akhirnya buat kali pertama saya berjaya menerbangkan kapal terbang Airbus A320 pada Ogos tahun lalu,” katanya yang berterima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif/ Pengarah AirAsia Bhd, Tan Sri Tony Fernandes kerana memberinya peluang menggapai cita-citanya.




Katanya, dia masih belum berpuas hati dengan tahap pencapaian yang diraih pada masa ini serta menanam impian bergelar juruterbang suatu hari nanti.


“Bagi saya ini baru saja permulaan, malah saya sedar untuk mencapai impian masih jauh dan memerlukan kerja keras dan usaha lebih tanpa putus asa.


“Saya harap masih belum terlambat dan saya tahu suatu hari nanti saya pasti berjaya menjadi juruterbang sebenar,” katanya.

Post a Comment

emo-but-icon

Post Gempak

loading...

Popular Posts

item